Wednesday, May 15, 2013

Terima Kasih dan Tahniah Kepada Ketua Polis Negara




Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia (PPPM) dan Pihak Bertiwi mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Tan Sri Khalid bin Abu Bakar di atas pelantikan jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru.
Semoga di bawah kepimpinan Tan Sri dan Datuk Seri, keselamatan dan keamanan Malaysia sentiasa terpelihara dan dapat meneruskan kesinambungan perkhidmatan cemerlang oleh kepimpinan terdahulu serta mampu meningkatkan imej dan keupayaan pasukan PDRM ke tahap yang lebih membanggakan lagi.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Ismail Haji Omar, Mantan Ketua Polis Negara atas perkhidmatan beliau.  




link di www,panggilanpertiwi.my : 
Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara 

Wednesday, April 24, 2013

Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia ke 79


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menyambut Hari Ulang Tahun ke 79 pada 27 April 2013. Sambutan pada tahun ini kemungkinan tidak semeriah dan sebesar tahun lepas. Kami di Bertiwi dan Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia Mengucapkan Selamat HUT kepada semua warga tentera laut.


Sedia Berkorban!!

Thursday, April 18, 2013

Laporan Khas Perarakan Tentera Darat Sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke 80 (2013)





BERTIWI 2 Mac 2013, Port Dickson – Buat julung kalinya, Tentera Darat Diraja Malaysia mengadakan Sambutan Hari Ulang Tahun yang ke 80 pada tahun ini. Pelbagai aturcara dan rancangan yang disediakan untuk orang ramai yang mulai 1 Mac 2013 sehingga dalam bulan Jun 2013. Pada 2 Mac 2013, Pengerusi Pertubuhan Panggilan Pertiwi, Saudara Megat Azmil Khalil Bin Megat Radzi aka Encik Kucing berkesempatan mengikuti perbarisan yang dibuat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke 80.


Keseluruhan unit dibawah naungan Tentera Darat menyertai perbarisan pada kali ini dan mempamerkan semua asset Tentera Darat bagi menunjukkan bahawa persediaan Tentera Darat mampu menangani musuh negara sekiranya diserang. Perarakan ini boleh dikatakan sebagai serampang 2 mata iaitu memperlihatkan asset kepada rakyat dan juga sebagai amaran kepada sesiapa pun berani mencabul kedaulatan negara Malaysia ini.


Orang ramai mula membanjiri sepanjang jalan seawal jam 7.00 pagi dan Wakil PP telah diberi lokasi yang startegik untuk membuat liputan upacara sambutan. Jutaan Terima Kasih kepada Koperal Haidzzam (Muzium Tentera Darat) dan Pihak PR Tentera Darat atas kesudian memberikan peluang dan kerjasama penuh kepada wakil PP yang hadir pada hari tersebut. Upacara perbarisan ini disaksikan oleh YB. Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dan juga YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad bin Haji Hassan. Turut hadir pada majlis pagi ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Ahmad, Yg Setia Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli Bin Hj Zainal Abidin (Panglima Tentera Darat), Yg Setia Leftenan Jeneral Dato' Roslan bin Saad (Timbalan Panglima Tentera Udara), Yg Setia Laksamana Madya Datuk Haji Mohammed Noordin Bin Ali (Timbalan Panglima Tentera Laut), dan juga Mantan Panglima Tentera Darat. 

AV-8
Malaysian Army Future Soldier
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Tentera Darat, Gagah Setia oleh sepasukan anggota tentera serta bacaan doa. Orang ramai dikejutkan dengan satu demonstrasi Anti Keganasan oleh Rejimen Gerak Khas sebagai gimik permulaan perbarisan sebaik sahaja bacaan doa. Ini menunjukkan kesediaan anggota keselamatan menangani pengganas yang cuba memcabar kedaulatan negara. Seluruh hadiri yang hadir bertepuk tangan selepas demonstrasi selesai. Menyusul selepas itu, Kenderaan Perisai Terbaru Tentera Darat iaitu AV-8 dipersembahkan kepada orang ramai. Kenderaan ini berhenti di pentas utama dan mengeluarkan Future Soldier TD yang dilengkapi pelbagai peralatan yang baru. 


Perarakan dimulakan dengan 2 buah kenderaan perisai peronda yang digunakan oleh Tentera Darat iaitu ferret scout car a.k.a HARIMAU 50 dan disusuli oleh 2 Kereta Kebal Pendekar PT91M buatan Poland. Menyusul selepas itu, Wira-wira negara yang menerima pingat SP dan PGB dibawah ke hadapan pentas utama menaiki kenderaan Gwagon. Semua wira-wira negara berbaris dihadapan pentas utama dan suasana menjadi sangat sayu ketika ini apabila sajak mengenang jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dideklamasikan dengan penuh perasaan.  


Kontijen Veteran TD
Rejimen Askar Melayu Diraja
Rejimen Renjer Diraja

Selepas para wira negara mengambil tempat, Perbarisan masuk membawa Bendera Malaysia, bendera Negeri-negeri dan Bendera Tentera Darat Malaysia dibawa masuk melintasi pentas utama dan disusuli oleh Kontijen daripada Bekas Veteran ATM. Pasukan Pancaragam RAMD mendahului perbarisan diikuti oleh kontijen dari Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Renjer Diraja. Dibelakang Kontijen Rejimen Renjer Diraja, unit penembak tepat (Sniper) yang berpakaian dengan pelbagai camouflage suit mengikut keperluan kawasan operasi menyusuli. Beberapa buah kenderaan senjata bantuan kompeni mengunakan Gwagon serta Vamtac Uro 4x4 melintasi pentas utama yang dilengkapi dengan HMG Browning M2HB .50 Caliber, Mk 19 grenade launcher dan Metis-M.  Selain itu, pelbagai jenis kenderaan berperisai jenis FNSS ACV-300 Adnan buatan Turki menlintasi pentas utama antaranya jenis 25mm M242 Bushmaster dan ACV-S.8 yang dipasangkan dengan 120 mm mortar.

FNSS ACV-300 Adnan dengan 25mm M242 Bushmaster
Unit Anjing Perang PULADA
CMI SIBMAS 6x6 AFSV dengan meriam Cockerill Mk III 90mm
Pasukan unit Anjing Perang juga tidak ketinggalan menyertai perbarisan yang telah dibawa khas daripada Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA). Unit ini memainkan peranan penting ketika zaman darurat untuk menjejaki musuh dan juga terdapat beberapa anjing telah terkorban. Kor Armor Diraja didahuli dengan perbarisan masuk kontijen anggota KAD, dan disusuli dengan kenderaan yang digunakan oleh KAD iaitu Bumar PT-91M Pendekar MBT (Poland), Radpanzer Rheinmetall Condor 4x4 APC (Jerman) dan   CMI SIBMAS 6x6 AFSV dengan meriam Cockerill Mk III 90mm (Belgium). 
Alvis Hägglunds AB Komunikasi
Bumar WZT-4 ARV
Jambatan Medan Jenis BR90
Kontinjen daripada Rejimen Semboyan Diraja (RSD) mengambil tempat menyusul jalan raya, perbarisan anggota RSD dan juga kenderaan yang digunakan oleh RSD seperti LandRover Komunikasi, Alvis Hägglunds AB Komunikasi dan juga Pusat Komunkasi Mobile. Rejimen Askar Jurutera Diraja menyusuli dibelakang RSD dengan perbarisan anggota RAJD dan disertai kenderaan dan peralatan digunakan oleh RAJD. Antara yang menyertai perbarisan adalah Bumar WZT-4 ARV (kenderaan kembalik bagi Kereta Kebal), Jentolak jenis CAT, Jambatan Medan Jenis BR90 dan Jambatan Medan Terapung jenis CNIM PFM (Motorized Ponton Bridge).

Meriam Denel G5 155mm 45 Cal.
Pelancar Roket Avibrás ASTROS II (Artillery SaTuration ROcket System) MRLS
Sistem Anti Udara Igla 9K310 dengan Dzghit launcher
Kontijen Rejimen Artileri Diraja (RAD) mengambil tempat dengan membariskan peralatan yang digunakan yang didahului dengan perbarisan anggota, Meriam Oto Melara 105mm Pack Howitzer, Meriam Denel G5 155mm 45 Cal., Pelancar Roket Avibrás ASTROS II (Artillery SaTuration ROcket System) MRLS, Sistem Anti Udara Igla 9K310 dengan Dzghit launcher (atas kenderaan Vamtac 4x4) dan MBDA Jernas Anti Udara Aras Rendah. Kontijen yang berada selepas RAD adalah kontijen dari Kor Kesihatan Diraja yang disertai anggota dan kenderaan ambulan medan dan hospital medan.


Kontijen seterusnya dikenali dengan memakai beret warna merah, adalah Kontijen Kor Polis Tentera Diraja yang bertanggungjawab menguatkuasa undang-undang tentera. Kontijen ini disertai unit motosikal sama ada mengunakan motosikal berkuasa tinggi atau motoskial scrambler. Kor Perkhidmatan Diraja adalah kontijen seterusnya yang merupakan kor@unit memberi perkhidmatan terutama dari segi pengangkutan dan juga logistik. Pelbagai kenderaan yang digunakan oleh KPD dipamerkan antaranya, Kenderaan Pacuan 4 roda Landrover Defender 110, Terak 3 Tan Hicom Handalan, Terak Amdac Tangki Air  dan Kenderaan Bomba TD.


Kontinjen Kor Ordnans Diraja (KOD) memasuki kawasan pentas utama dengan perbarisan anggota dan disertai beberapa buah kenderaan seperti Unit Pemusnah Bom aka EOD Trailer, Mesin basuh Medan dan Bilik Air Medan. Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) pula mempamerkan kenderaan kembalik dari jenis Landrover Defender, SIBMAS Kembalik, dan juga FNSS ACV 300 Adnan versi kembalik. Kontijen Rejimen Askar Wataniah (RAW) mengambil tempat mengikuti KJLJD yang mana merupakan terdiri daripada anggota sukarela yang banyak menabur bakti membantu pasukan tetap.

Glover Webb Hornet Fast Strike 280 4×4 Vehicle 300TD

Kontijen Rejimen Gerak Khas bergerak memasuki kawasan pentas utama dengan berlari anak berbeza dengan kontijen lain sebelum ini dan disertai dengan pelbagai kenderaan sokongan mengikuti unit seperti Glover Webb Hornet Fast Strike 280 4×4 Vehicle 300TD yang digunakan oleh 21 Komando, Kenderaan Ford ULK 11RGK , RHIB digunakan oleh Unit Perahu Khas (SBS) dan juga RHIB Unit Selam Tempur.

Kontijen 10 Briged Para merupakan kontijen terakhir, kontijen ini dikenali dengan memakai beret berwarna maroon. Pelbagai kenderaan sokongan dan bantuan yang terdapat dalam 10 Briged PARA dipamerkan antaranya HICOM/Alvis Supacat 6x6 All Terrain Mobile Platform, Vamtac Uro 4x4, Alvis CVR(T) FV101 Scorpion dengan meriam Cockerill Mk III 90mm, Alvis Stormer APC, MIFV AFV, Oto Melara 105 Pack howitzer dan Isuzu D-Max yang membawa anggota unit anti udara mengunakan Anza Mk II. Terdapat juga unit bermotosikal yang mengunakan motosikal jenis scrambler yang membawa anggota penembak tepat dan anggota anti udara.

Alvis CVR(T) FV101 Scorpion dengan meriam Cockerill Mk III 90mm

Majlis diakhir dengan lintasan udara oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang mengunakan pesawat AgustaWestland A109 Hirundos LOH yang membawa bendera Malaysia, Negeri Sembilan, ATM dan Tentera Darat.


Wednesday, April 10, 2013

Laporan Khas Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia 2013 (Seluruh Negara)


BERTIWI, 6 & 7 APRIL 2013 – Buat julung kalinya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan Hari Terbuka ATM di seluruh negara. Sebanyak lebih kurang 33 lokasi diadakan di seluruh negara bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan peralatan dan persenjataan digunakan oleh pasukan keselamatan. Program ini diadakan sempena “Military Community Volunteering Day” yang merupakan sebahagian daripada Program NBOS (National Blue Ocean Strategy) atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan untuk mendekatkan orang ramai dengan pihak keselamatan negara.
Lokasi utama program ini telah diadakan di Pengkalan Udara Kuantan dan telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak pada 6 April 2013. Pelbagai program dan demostrasi pertunjukan serta pameran statik disediakan kepada para pengunjung. 2 orang koresponden atau wakil dari Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia (PP) atau lebih dikenali sebagai panggilanpertiwi.my, saudara Muhamad Saifuldin aka Shepherd dan penulis sendiri turut sama hadir bagi di Pengkalan Udara Kuantan. 



Pelbagai pameran statik disediakan yang terdiri daripada semua cabang Angkatan Tentera Malaysia, iaitu Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia dan juga Tentera Laut Diraja Malaysia. Tidak ketinggalan daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta wakil-wakil Industri Pertahanan Malaysia yang diterajui oleh NADI (National Aerospace & Defence Industries) , Sapura Defence, Zetro dan pelbagai lagi syarikat tempatan. Antara pesawat udara yang dipamerkan adalah Mig-29, Boeing F-18D Hornet, Su-30MKM, BAe Hawk 209 dan AM-339CM. Manakala, Helikopter pula terdiri daripada EC-725 TUDM, AW Super Lynx TLDM, Mil-8 JBPM dan EC-355 PDRM. Beberapa pertunjukan dan demonstrasi juga diadakan antaranya pertunjukan udara Smokey Bandit, Kris Sakti, Water Bombing oleh Bomberdier CL415MP, Pertunjukan motosikal Red Warrior dan Lompatan Gimastik oleh TUDM. 


Selain itu, kami berkesempatan menemui salah seorang warga Panggilanpertiwi.my yang merupakan Pegawai TACO pesawat Super Lnyx TLDM dan sempat bertanya beberapa perkara. Kami juga berkesempatan menemubual seorang juruterbang EC-725 dan anggota Paskau yang terlibat dalam Ops Daulat. 2 rakan PP turut serta adalah Saudara Nazaruddin Aka Dremel (di booth Scale Model Malaysia) dan Saudara Ariff Fadhley aka Jangofett (di Booth Sapura).
 
Manakala di Kem 7 RRD Mech Batu 5, Mentakab, 2 lagi koresponden PP iaitu Saudara Mohd Ridhuan aka Paskau-X dan Kapt Zaid aka Smerch berada di sana untuk membuat liputan untuk panggilanpertiwi. Antara pameran statik yang terlibat adalah kesemua jenis kenderaan Perisai AIFV 300 Adnan dipamerkan yang terdiri daripada jenis 20mm Bushmaster, 40mm Grened Mortar, Ambulan dan Kembalik. Tidak lupa juga, pameran daripada PDRM, JBPM, JPAM, serta pertunjukan Tempur Tanpa Senjata serta Tarian Perang. Selain itu, terdapat demostrasi panggilan tembakan untuk ACV-300 Mortar dan juga kawad tembakan bagi Oto Melara 105mm Pack- Howitzer. Para Pengunjung juga berkesempatan menaiki Kenderaan Berperisai Adnan mengelilingi Kem 6 Briged.

Saudara Khairol Azman Bin Noorizan aka Kerianers merupakan koresponden PP di Taiping melaporkan majlis perasmian tetap diteruskan walaupun hari hujan dan kawasan padang pameran sangat berbecak. Perkara ini menyebabkan kurangnya pengunjung yang hadir, walaubagaimanapun pelbagai booth pameran yang disediakan dari ATM, PDRM, Jabatan Penjara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Terdapat juga kenderaan berperisai seperti Condor, Kederaan Pengangkut Kereta kebal jenis AMDAC, dan persenjataan Meriam 155mm dan 105mm. Selain itu, terdapat pertandingan kawad kaki anatara Pasukan Kadet Tentera Daerah Larut Matang dan Simulasi Rempuh Halangan untuk orang ramai memcubanya.

Monday, April 08, 2013

Laporan Khas Perbarisan Memperingati Sambutan Hari Polis Ke 206


BERTIWI 25 Mac 2013, PULAPOL - Tahun ini, Polis Diraja Malaysia telah mengadakan Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke 206 yang dilangsungkan di Pusat Latihan Polis(PULAPOL) Jalan Semarak pada 25 Mac 2013. Pada hari sebelum, diadakan pameran statik dan juga beberapa demostrasi diadakan di lokasi sama. Pelbagai aturcara telah diaturkan bagi memperingati jasa-jasa anggota polis yang berkhidmat dan pada kali ini perbarisan ini dibuka kepada orang ramai untuk melihat sendiri perbarisan yang ada.
 


Pada awalnya, penulis berkemungkinan tidak dapat hadir ke majlis ini namun, atas beberapa sebab, penulis dapat menghadiri majlis ini. Seawal jam 7.00 pagi, orang ramai mula membanjiri Pusat Latihan Polis sama ada menaiki kenderaan sendiri atau mengunakan bas shutter yang telah disediakan oleh Pihak PDRM untuk memudahkan orang ramai untuk mengikuti program pada hari ini.







 



Majlis dimulakan dengan perarakan kemasukan Panji Kehormat PDRM dan semua hadirin dimohon untuk berdiri dan anggota PDRM diminta memberi tabik hormat sepanjangan perarakan masuk Panji Kehormat. Selepas itu ketibaan Ketua Polis Negara, YBhg Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar dan disusuli oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Dato' Sri Dr. Ali Hamsa. Menyusul selepas itu, Menteri Dalam Negeri, Y.B. Dato' Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein dan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak.
 
Majlis rasmi dimulakan dengan tabik hormat dari seluruh kontijen yang hadir, dan seterusnya YAB Perdana Menteri memeriksa semua kontijen perbarisan yang ada. Beliau sempat melambai pada hadirian yang hadir pada pagi itu semasa melintasi khemah penonton.

 
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa serta nyanyian lagu Kebangsaan dan Lagu Rasmi PDRM dan ucapan oleh Ketua Polis Negara, YBhg Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar. Seterusnya ucapan perasmian oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak. Beberapa pengumuman termasuk pengistiharan ESSZON dan ESSCOM dilancarkan pada pagi itu. 
 
 
Pembacaan ikrar PDRM dan ikrar Rukun Negara dilafaskan dan diikuti oleh seluruh hadirin yang hadir. Menyusul selepas itu adalah deklamasi sajak oleh 2 orang Pegawai Polis berpangkat DSP dan diiringi gesekan violin oleh anggota PDRM berpangkat sarjan.


Sausana Sayu dan hiba dirasai oleh seluruh hadirin semasa penyampaian kenaikan pangkat kepada 8 wira negara yang terkorban oleh YAB Perdana Menteri. Kenaikan pangkat ini diterima oleh waris wira negara yang terkorban sama ada isteri, anak atau ibubapa waris. YAB Perdana Menteri turut sedih dan bergenang air mata sepanjang beliau menyampai kenaikan pangkat dan beliau sempat bertanya beberapa perkara pada waris yang menerima. 

 

Seterusnya perbarisan lintas hormat secara pelahan jalan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersama-sama Panji Kehormat melintas pentas utama. Majlis diteruskan lagi lintas hormat oleh FRU dan kontijen-kontijen lain dalam PDRM termasuk kontijen Pasukan Perkhidmatan Am, Cawangan Khas dan Polis Wanita.




Kontijen berkenderaan juga terlibat sama didahului dengan berbasikal
, Motosikal dan juga kenderaan berperisai. Beberapa jenis motosikal juga melintasi dan diakhiri dengan squad peronda bermoto yang baru dilancarkan baru-baru ini mengunakan kenderaan Kawasaki ninja 250. 


 
 
 

Cawangan unit udara PDRM turut membuat lintasan hormat mengunakan 2 pesawat ringan jenis Cassena 206 dan 2 helikopter jenis AS-355. 
 

Majlis diteruskan nyanyi lagu PDRM dan beberapa lagu patrotik dan pertunjukan video khas operasi OPS Daulat. Panji Kehormat PDRM berarak keluar sebaik sahaja video khas tamat. Seterusnya gimik kemasukan anggota yang berkhidmat di OPS Daulat ke tengah pentas utama dan bertemu dengan YAB Perdana Menteri untuk beramah mesra. Majlis diakhir dengan bergambar ramai anggota berkhidmat di OPS Daulat bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri bersama-sama Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan juga Ketua Setiausaha Negara.
Majlis tamat dalam jam 11.30 pagi.